Naik Kapal Terbang Semasa Hamil

Naik Kapal Terbang Semasa Hamil

Semasa hamil saya berpeluang untuk menaiki kapal terbang untuk penerbangan jarak jauh sebanyak 2 kali.

Kali pertama ialah di saat kandungan berusia 7 minggu. Ketika itu saya sangat risau kerana di usia ini kadar keguguran adalah tinggi. Jadi saya merujuk kepada doktor di an-Nisa’ samada saya sesuai untuk terbang selama 16 jam dengan selamat.

Doktor menjawab boleh menaiki kapal terbang kerana saya tidak mempunyai risiko keguguran seperti pendarahan di awal kehamilan. Alhamdulillah.

Jika ada ibu-ibu yang bimbang akan masalah radiasi semasa terbang, jangan bimbang kerana menurut kajian risiko tersebut adalah rendah walaupun di kalangan krew kapal terbang yang sedang hamil.

Ketika kandungan saya berusia 31 minggu, saya dijadualkan untuk balik bersalin di Malaysia. Ketika ini, ibu-ibu perlu merujuk kepada garis panduan syarikat penerbangan kerana ia berbeza-beza.

Secara umumnya, syarikat penerbangan tidak membenarkan ibu hamil 36 minggu untuk menaiki pesawat kerana ketika ini kandungan sudah matang dan ibu-ibu boleh bersalin pada bila-bila masa sahaja.

Jika kandungan berusia 28 minggu ke atas, ketika ini wajib untuk mendapatkan surat doktor bagi mengesahkan bahawa kandungan tidak berisiko. Surat ini biasanya perlu diambil 7 hari sebelum berlepas bagi mendapatkan status kandungan yang terkini.

Saya menaiki Emirates untuk pulang ke Malaysia. Risau juga kalau tiba-tiba bersalin, tak pasal-pasal dapat baby EK macam satu kes dalam Emirates beberapa tahun lepas.

Emirates menyediakan borang pengesahan dari doktor yang boleh didapati di web rasmi Emirates. Hanya perlu print dan bawa ke klinik untuk mendapatkan tandatangan doktor.

Saya tahu ramai yang bimbang jika tidak dapat menaiki pesawat di trimester terakhir. Sekiranya kandungan ibu-ibu disahkan tak ada sebarang risiko untuk dilahirkan secara pramatang, jangan risau.

Isytiharkan kepada krew yang bertugas di kaunter. Tak perlu sembunyi-sembunyi naik kapal terbang. Mereka akan memberikan layanan dan perhatian yang khusus kepada anda. Ada pramugari bertugas yang akan datang bertanya keadaan kita sepanjang menaiki pesawat dan memberikan bekalan air agar kita sentiasa terhidrat sepanjang penerbangan. Naik kapal terbang lama-lama boleh menyebabkan kekeringan dan juga risiko untuk mendapat venous thrombosis (darah bergumpal) yang berbahaya kepada ibu hamil.

Bangun dan buatlah pergerakan sepanjang berada di dalam kapal terbang untuk mengurangkan risiko untuk mendapatkan venous thrombosis dan mengelakkan lenguh-lenguh terutamanya di bahagian pinggul.

Di samping itu, kalau ibu-ibu membeli tiket melalui web dan check-in online, pilihlah tempat duduk bulkhead, iaitu barisan depan sekali supaya ada ruang untuk berlunjur dan mudah untuk keluar masuk ke tandas. Ya lah, di akhir kehamilan ini kita kerap kencing kerana janin yang berat sudah menekan pundi kencing kita. Kalau tak dapat, minta krew di kaunter tukarkan tempat duduk kita tetapi pastikan check in awal di kaunter.

Ini serba sedikit tips dan pengalaman saya naik kapal terbang semasa hamil tahun lepas.

P/S : Hampir 2 minggu berlalu untuk MH370, jangan putus mendoakan mereka!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *