Pesanan Abang Hartawan Kepada Adiknya

Pesan Abang Hartawan

Seorang adik pergi berjumpa dengan abangnya, seorang hartawan, sebelum berpergian ke Mekah untuk menunaikan haji.

Mereka sedang duduk-duduk berbual di meja kopi dalam ruang tamu yang luas lagi indah dengan perhiasan sehingga tercetus soalan ini.

“Abang nak dengar pendapatmu, Wan. Abang ni belajar tak tinggi. Jadi abang nak dengarlah pendapat orang belajar tinggi macam Wan.” kata si abang yang tidak bersekolah tinggi kepada adiknya, lepasan ijazah di sebuah universiti tempatan.

“Kalau Wan diberi peluang berdoa sekali je, apa yang Wan doa yang mana dengan doa itu semua yang Wan nak dipenuhi?”

“Doa untuk bahagia.” jawab si adik. Ada getaran suara di hujung jawapan tersebut.

“OK, hampir tepat. Tapi nelayan pun rasa bahagia juga tatkala bumbung rumah tiris bila hujan. Bahagia tapi keperluan fizikalnya tak cukup.”

“Hmm, doa supaya hidup mulia.”

Si Abang ketawa.

“Bila diberikan mulia, kita mungkin gembira kerana orang lain hormatkan kita. Tapi, rasa mulia boleh hilang dan tak dapat berikan apa yang jiwa kita nak seandainya di sisinya banyak masalah lain seperti selalu sakit atau rumahtangga berantakan.”

Adiknya termangu mendengar jawapan tersebut, namun si Abang meneruskan percakapannya.

“Jawapan Abang ialah bila diberi peluang sekali je untuk berdoa, Abang akan doakan hidup ‘sedap’ dunia akhirat.” (Sedap dalam bahasa Kelantan bermaksud nikmat)

“Bila kita dapat hidup sedap, tak ada benda lain dah kita nak. Kita dapat yang kita nak dengan nikmat keseronokannya sekali. Hidup sedap dengan keluarga yang harmoni dan kesihatan yang baik dalam rumah besar. Keluarkan duit nak sedekah pun rasa sedap je, tak ada rasa takut tak cukup. Pendek kata serba serbi ada, cukup dan seronok.”

Si adik terdiam, namun dalam hatinya bersetuju dengan jawapan abangnya. Dia pun sangat seronok melihat kehidupan abangnya yang ‘sedap’. Harta ada, amal kebajikan dijaga dan keluarga pula tampak bahagia sentiasa.

Dalam diam, si adik memasang angan-angan untuk hidup sedap seperti abangnya dan sekarang dia yakin untuk sampai ke tahap merasai nikmat seperti itu ia harus dimulai dengan berdoa kepada Allah agar dikurniakan rezeki yang ‘sedap’ dunia akhirat seperti abangnya.

P/S : Mulakan hidup sedap dunia akhirat dengan berdoa kepada Pemberi Rezeki dan Hidayah hari ini juga!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *